1. Wahai anakku! Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama dan dengarlah kata-kata para hukama (orang yang bijaksana). Kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat seperti mana Dia menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat.
2. Wahai anakku! Tiada kekayaan yang lebih bernilai daripada kesihatan dan tiada nikmat yang lebih utama daripada kebaikan jiwa.
3. Wahai anakku! Aku pernah menanggung besi dan batu besar yang mana kedua-duanya berat belaka, tetapi aku tidak pernah menanggung sesuatu yang lebih berat daripada jiran yang jahat. Aku pernah merasakan kepahitan, tetapi aku tidak pernah merasakan kepahitan lebih daripada kepapaan.
4. Wahai anakku! Janganlah engkau menjadi lemah daripada seekor ayam jantan yang berkokok pada waktu pagi hari, sedangkan engkau masih berbaring di katilmu.
5. Wahai anakku! Diam itu bijaksana tetapi sedikit pelakunya, pukulan bapa kepada anaknya bagaikan air bagi tanaman.
6. Wahai anakku! Janganlah engkau belajar apa yang belum engkau ketahui hingga engkau amal apa yang engkau ketahui.
7. Wahai anakku! Tiga orang, tidak dapat dikenalinya melainkan pada tiga keadaan: Orang yang lemah lembut ketika marah, orang yang berani ketika berperang dan saudaramu ketika engkau berhajat kepadanya dan memerlukan pertolongannya.
(Al-Suyuti, al-Durr al-Manthur Fi Tafsir al-Ma’thur, Jil. 5, hlm. 163-165)
8. Wahai anakku! Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan umurmu lebih sedikit daripada yang sedikit itu, manakala yang masih baki amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi.
9. Wahai anakku! Janganlah engkau memandang remeh perkara yang kecil itu, kerana perkara yang kecil itu besoknya akan menjadi besar.
10. Wahai anakku! Ambillah dunia ini sekadarnya sahaja dan janganlah engkau sampai terjerumus ke dalamnya, kerana dengan demikian merugikan akhiratmu, janganlah pula engkau membencinya sehingga engkau menjadi bebanan orang lain.
Berpuasalah! Dengan puasa dapat melemahkan syahwatmu dan janganlah engkau berpuasa sehingga menyebabkan engkau tidak kuat bersolat, kerana solat itu lebih mulia daripada puasa di sisi Tuhanmu.
Tanda-tanda pendengki itu tiga perkara iaitu:
(a) Mengumpat kawannya apabila kawannya tiada.
(b) Memujuk-mujuk kawannya apabila ada bersama
(c) Gembira sekiranya kawannya ditimpa bala
(Al-Tha’labi, Qisas al-Anbiya’ al-Musamma ‘Ara’is al-Majalis, Dar al-Ihya’ al-Kitib al-Arabiyyah)
Diambil dari buku Surah Luqman Mendidik Anak Cemerlang
No comments:
Post a Comment